Ustaz Khairul Anuar Basri • Al-Ma'thurat As-Sughra (Bacaan Pagi) | المأثورات الصغرى
Zikir kepada Allah swt adalah amalan ibadah yang banyak kelebihannya. Seperti mana firman Allah swt dalam Surah ar-Ra’d ayat 28,
الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا وَتَطْمِئِنُّ قُلُوْبُهُمْ بِذِكْرِ اللهِ، أَلاَ بِذِكْرِ اللهِ تَطْمِئِنُّ الْقُلُوْبُ
Maksudnya, “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah (zikir). Ingatlah, dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.”
Kelebihan Amalan BerzikirAmalan ibadah zikir banyak kelebihannya. Ia bukan sekadar membuatkan sentiasa ingat kepada Allah swt Maha Pencipta, tetapi juga dapat memberi ketenangan serta kebaikan lain, antaranya:
1) Menghalau SyaitanSebagai anak Adam, kita tidak terlepas daripada hasutan Syaitan. Tatkala seorang manusia berzikir, zikir yang dibacanya dapat menjadi pendinding diri daripada gangguan Syaitan.
2) Allah Ingat KepadanyaZikir bukan sahaja membuatkan kita ingat kepada Allah, tetapi juga sebaliknya. Sebagai hamba yang lemah, pastinya kita sangat berharap agar Allah swt juga ingat kepada kita.
Allah berfirman yang bermaksud,
“Maka ingatlah kepadaKu, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu ingkar kepadaKu.” (Al-Baqarah: 152)
Begitu juga dalam sebuah hadis Qudsi, “Aku Bersama HambaKu Yang MengingatiKu.” (Sahih al-Bukhari)
3) Memupuk Rasa Syukur & Cinta Kepada Allah swtZikir menjadi asas rasa syukur kita kepada Allah swt. Semakin banyak kita berzikir bermaksud semakin banyak kesyukuran kita kepada Allah. Semakin banyak kita berzikir, semakin dekat Allah mengisi hati kita. Zikir menjadi kunci kita kepada pintu cintaNya.
4) Membersihkan HatiSeperti kata Ibn Taymiyyah, “Perlunya zikir kepada hati sama seperti air diperlukan oleh seekor ikan.” Maka, zikir ini juga sering dikatakan sebagai makanan kepada hati dan jiwa.
5) Mendapat Kebaikan Di Dunia Dan AkiratZikir kepada Allah ada fadilatnya yang tersendiri. Sebagai contoh, Saidatina Fatimah ra mengadu kepada Rasulullah kerana keletihan melakukan tugasan hariannya. Rasulullah menasihatkan Fatimah ra agar berzikir ‘Subhanallah’, ‘Alhamdulillah’, dan ‘Allahu Akhbar’. Bagi kita yang mengamalkan amalan zikir kepada Allah swt, pastinya Allah akan mengganjari pahala kerana kita sentiasa mengingatinya.
6 Kelebihan Al-Mathurat (Amalan Harian Yang Menguntungkan)
Kelebihan Bacaan Al-Ma’thurat
Antara kelebihan membaca Al-Ma’thurat ialah;
1) Dimulai dengan ucapan Taa’wuz iaitu ‘Aku bermohon perlindungan Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dari gangguan syaitan yang direjam’. Selaku hamba yang lemah, kita sentiasa mengharap agar Allah sentiasa melindungi kita daripada gangguan Syaitan.
2) Bacaan Al-Fatihah di dalam Al-Ma’thurat merupakan bacaan yang agung. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud, “Demi Allah yang nyawaku di tangan Nya, belum ada surah yang diturunkan di dalam Taurat, Injil, Zabur atau Furqan yang menandinginya. Dialah Al-Sab’ul Mathani dan Quran yang agung yang diturunkan kepadaku.” (HR at-Tirmizi dan an-Nasai)
3) Membaca surah al-Baqarah dalam zikir Ma’thurat juga memperolehi pahala yang besar. Sabda Rasulullah saw bermaksud, “Janganlah menjadikan rumah kamu seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari daripada rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah”. (HR Muslim)
4) Membaca ayat Kursi juga akan menghindarkan diri dari gangguan syaitan. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Apabila kamu masuk ke tempat tidurmu, maka bacalah ayat Kursi ‘Allahu La Ilaha Illa Huwal Hayyul Qayyum’, sehingga habis ayat ini. Maka sesungguhnya, akan sentiasa ada penjaga dari Allah untuk kamu, dan syaitan tidak akan dapat mendekati kamu sehingga pagi” (HR Bukhari)
5) Di samping itu, doa-doa yang dimuatkan dalam al-Ma’thurat itu merupakan doa dari Nabi saw yang sewajarnya kita turut amalkan dalam kehidupan kita pada hari ini.
Antaranya,
- Doa dijauhkan daripada sifat malas, kedekut dan dibelenggu hutang
Maka Baginda saw bersabda, Ucapkanlah pada tiba waktu pada pagi dan petang bacaan ini:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya, “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.” (HR Abu Daud)
Doa agar dijauhkan daripada kemudharatan
Dari Aban Bin Osman, bahawa Nabi saw bersabda: “Sesiapa membaca,
بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Maksudnya, “Dengan nama Allah, dengan nama-nya tidak akan berbahaya sesuatu yang ada di bumi dan di langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”, sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa musibah hingga malam hari, dan sesiapa membacanya di waktu malam maka tidak akan ditimpa musibah hingga pagi hari, dengan izin Allah.” (HR Ahmad)
6) Al-Ma’thurat juga mengandungi bacaan selawat ke atas Rasulullah saw. Amalan selawat juga banyak kelebihannya. Dari Ibn Mas’ud ra, bahawa Nabi saw bersabda, maksudnya, “Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari qiyamat ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku.” (HR at-Tirmizi)
Akhirnya, semoga Allah swt memberi kita taufiq dan hidayah dalam beramal serta menerima segala amalan yang kita lakukan. Amin.
Coretan Nota ini dari Bidadari.my
No comments:
Post a Comment